Mengapa Wanita Memerlukan Lelaki?
Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling
memerlukan, cinta itu anugerah.
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu
dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.
Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar
hidupnya kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat,
berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak
lokek senyum tanda salam perkenalan.
Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita
mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.
Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang
baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari
langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap,
janggut selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang
hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik,
membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok agama yang barangkali
selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang
halal lagi dirahmatiNya.
Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana
Allah itu yang lebih mengetahui.
Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti
manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan
kita.
Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain
perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus bersedia
menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk
sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian
masalahnya berbaring di bahu kita.
Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang
merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak
juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.
Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya,
semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk
pasti ada.
Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus
cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua.
Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima
tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup
bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi,
anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa
pulang menemui ibu bapa.
Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak
suami isteri.
Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki,
kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar
dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan
mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk
berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini
diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga
mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah
kaki.
Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki,
bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan
dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat
pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki
untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan
dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang
bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.
Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus
saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak
selamanya mahu menjadi angin semata-mata.
Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama,
terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga
jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.
Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan
jodoh yang baik. InsyaAllah...
sedang berblogwalking terjumpe la bnde menarik yg menjawab segale persoalan cheera pade post lelaki oh lelaki ... terima kasih banyak2 & maaf share post nie sebagai jawapan di post lepas..
Older Post | Newer Posts